Semalam bangun tidur secara tiba-tiba aku terfikir, apa sebenarnya yang mengangkat seorang perempuan ke satu taraf yang kita boleh anggap sebagai cantik? Yang berkulit cerah? Sawo matang? tinggi? atau yang berbuah dada besar? Sebenarnya,baru-baru ini aku ada terperasan seorang perempuan cantik dekat tempat aku belajar. Dan apa yang buat aku terkejut ialah, dia sebenarnya baru aje jadi cantik. Sebab dengan tak sengaja (jujur, memang tak sengaja) aku ada terlihat gambar lama dia yang membuatkan aku secara tak semena-mena cakap "Wow". Memang sejenis transition yang sangat berjaya. Boleh kata, dia memang dah berjaya melalui alam kebalighan (ada ke perkataan ni?) dengan begitu bergaya la kurang lebih. Kalau ikutkan, banyak dah aku nampak nampak transition bergaya dan berjaya macamni. Cuma aku tak terfikir je untuk tukarkan idea-idea ini, kepada sejenis tulisan tak bermanfaat. Jadi, untuk entri kali ini aku rasa aku nak dedikasikan untuk pemerhatian aku terhadap perempuan-perempuan yang baru sahaja jadi cantik yang didorong oleh azam dan kegigihan, diikuti dengan pelaburan wang mereka, serta sebagai panduan kepada lelaki-lelaki yang dah kecewa dengan perempuan yang sedia ada cantik, sebagai panduan. Mari kita beralih ke langkah yang pertama!
Mula memakai pendakap gigi
Aku kurang faham sebenarnya kenapa ada golongan manusia yang beli/jual fake braces untuk nampak cool/cantik (walaupun ada la sikit) . Diorang tak tahu ke menatang tu bahaya? OK, bukan ini yang aku nak cerita. Kita semua memang sedia maklum yang memang pendakap gigi ini fungsinya adalah membetulkan semula kedudukan gigi yang berterabur (aduhhh). Walaupun kadang-kadang aku berpendirian tegas bahawa perempuan dengan gigi taring yang sedikit tersembul atau kedudukan gigi yang sedikit berterabur sebenarnya agak comel (Gigi taring yag tersembul dan kedudukan yang berterabur sedikit sahaja,OK? Bukan jongang atau rongak), tapi akhirnya aku terpaksa akui, perempuan yang memakai pendakap gigi atau selepas memakai pendakap gigi sebenarnya cantik juga. Jadi, kalau kamu nampak ada perempuan dengan keadaan gigi yang kamu kurang suka untuk lihat sudah mula memakai pendakap gigi, sila berjaga-jaga. Sebab dia mungkin jadi cantik! (Kemungkinan menjadi cantik turut bergantung kepada rupa paras individu, faktor pendakap gigi bukanlah sole factor penentu kecantikan).Berjinak-jinak dengan produk kecantikan
Perempuan dengan produk kecantikan memang tak dapat dipisahkan. Tapi perhatikan juga, kalau-kalau kamu ada perasan tentang seorang perempuan yang sebelum ini tak kisah langsung dengan produk kecantikan, suka keluar rumah dalam keadaan yang sangat selesa tanpa perlu make up tetapi sangat berkeyakinan sudah mula berjinak-jinak dengan produk kecantikan, bersedialah, dia mungkin jadi cantik!
(Ulasan berbentuk pendapat yang kurang kena-mengena dengan perkara diatas)
Kalau ikutkan, aku sebenarnya orait aje dengan perempuan yang malas bersolek atau yang suka bersolek, atau yang memang hidup untuk bersolek. Yang penting, confident. Tapi apapun, aku ada juga lah bengkek dengan jenis perempuan yang dahla tak cantik, bermekap pulak tak reti, tapi berlagak macam dia Picasso dalam bidang mekap bermekap (ada ke perkataan ni?). Cadangan penyelesaian aku untuk golongan ini, silalah belajar cara bermekap dengan betul, atau berhenti berlagak, atau berhenti bermekap dan hiduplah dengan rasa tidak yakin sepanjang hayat.
Menukar bingkai kacamata kepada yang lebih trendy
Bingkai kacamata pun perlu diperhatikan. Transisi bentuk bingkai kacamata dari bentuk ala-ala Neo dalam The Matrix kepada Wayfarer atau Moscot adalah satu petanda besar bahawa seseorang individu itu mula merasakan penampilan diri itu sangat penting (perlu aku ingatkan, kacamata untuk yang rabun sahaja. Kalau tak rabun lepastu beli Moscot Lemtosh dekat Danau kota buat pergi jalan-jalan, tak payah).
Parut jerawat di muka mula pudar dengan kulit mulai cerah
Ini mungkin antara faktor paling besar dalam menganalisis kemungkinan seseorang perempuan akan menjadi cantik atau tidak. Kalau kita perhatikan, tafsiran cantik bagi perempuan Melayu bertudung mula berevolusi apabila rata-rata perempuan jenis ini (hahaha,jenis!) mula memandang kecantikan dari suatu sudut pandang yang baru ; iaitu kulit putih melepak dengan pipi kemerah-merahan dan juga warna anak mata yang sangatlah tidak melambangkan bangsa mereka iaitu Melayu. Lazimnya, bagi memadankan kulit putih melepak ini, kanta lekap jenis bukan untuk orang rabun yang berwarna-warni sering digunakan. Warna yang paling lazim ialah biru, kelabu, dan coklat gelap (maaf, aku memang kurang mahir dalam mengelaskan warna mengikut jenis macam coral blue, cake pink, dan sebagainya) sebab warna-warna lain macam hijau cair berpotensi terlihat tersangatlah fake. Tafsiran baru untuk "cantik" ini mungkin sekali bermula sekitar 2012 atau 2013 apabila munculnya syarikat-syarikat macam Qalaqisya yang menjual pakaian fesyen terbaru yang Sharia compliant™ bagi perempuan-perempuan Melayu bertudung untuk kekal hip dan sentiasa "cucuk rapat" dengan perkembangan fesyen terkini tanpa perlu mengorbankan aurat mereka (walaupun sebenarnya ada je pakaian yang nampak macam Sharia compliant™ tapi sebenarnya tidak). Syarikat-syarikat macamni memang kalau kita perhatikan akan menggunakan model-model dengan karakter diatas. Kulit putih melepak, anak mata warna-warni dengan pipi merah jambu. Tak ada lagi aku perhatikan untuk tahun 2014-2016 syarikat pakaian Sharia compliant™ yang menggunakan model-model dengan paras kemelayuan yang tinggi; kulit kuning langsat atau sawo matang, pipi tak merah dan senyuman jenis yang memerlukan kita perhatikan beberapa kali untuk dapatkan "manis" dia. Senang cerita, dalam kata lain yang kurang fancy, ialah "ayu". Contoh perempuan cantik jenis Melayu? Wan Sharmila dan Prisia Nasution. Jadi nasihat aku, kalau nak cari perempuan Melayu yang cantik dengan jalan yang agak senang, carilah yang ada karakteristik di atas, sebab perempuan Melayu yang mengejar kecantikan jenis Melayu sebenarnya memang dah susah nak cari.
Mula bimbang tentang saiz buah dada yang sesuai
OK, bagitahu aku lelaki mana je yang tak suka buah dada? Lantaklah dari ahli Pas sampai lah ke Parti Liberal Kanada, dari pelajar Usuluddin sampai ke pelajar falsafah barat, semua suka,kan? cuma yang membezakan mereka ialah mereka tunjuk atau tidak (bahagian atas ini sebenarnya adalah sejenis ayat untuk memberitahu orang bahawa aku bukanlah seorang pervert walaupun hakikatnya aku pun suka buah dada). Aku sebenarnya orait aje dengan perempuan yang ada buah dada kecil atau besar, asalkan tak bangang atau bimbo. Tapi itulah, buah dada ni kira macam bonus gaji la, kalau ada yang kecil pun ok, biasa-biasa pun ok, kalau dapat bonus besar setahun gaji tu yang buat orang bahagia,kan? (Tapi kalau aku analogikan buah dada dengan bonus gaji, mungkin bonus setahun gaji adalah terlalu besar. Aku lebih minat bonus yang mungkin sebulan dua punya gaji, aku rasa selesa tapi tak terlalu boros). Jadi, mungkin sebab inilah, perempuan yang mahukan dirinya menjadi cantik akan mula risau dengan saiz buah dadanya. Taknak kecil sangat, besar sangat pun taknak sebab takut nanti semua lelaki asyik pandang ataupun takut nanti semua baju jadi tak Sharia compliant™. Tapi kalau kecil sangat nanti tak menarik lah pulak. Akhirnya mereka pun memilih bonus sebulan gaji. Ah ha.
Aku rasa mungkin sampai sini sahaja. Mungkin untuk tahun-tahun akan datang definisi cantik dalam kalangan perempuan Melayu akan berubah? atau mungkin juga definisi lelaki Melayu hensem pula yang akan jadi hampir sama dengan definisi perempuan Melayu cantik? Putih melepak, mungkin dengan jambang sedikit dan juga rambut yang diwarnakan yang mana bahagian mewarnakan rambut adalah bahagian yang paling aku tak suka,lagi-lagi bila ianya datang dengan potongan undercut atau uppercut ala Wak Doyok seperti mana yang selalu digayakan anak-anak orang kaya yang selalu bergambar disamping kereta mewah ayah mereka. Mungkin mewarnakan rambut hanya relevan pada aku kalau rambut kamu panjang dan kulit kamu cerah dan kamu ada jambang. Dan warna yang OK mungkin sekali warna blonde, macam yang pernah aku lihat pada seorang pemilik kedai barangan preloved di TTDI yang agak terkenal dalam scene di Lembah Klang. Dan aku sangat tak suka lelaki Melayu dengan rambut warna inai dengan semua gaya yang boleh didapatkan di Joe's Barber (hanya pendapat).
No comments:
Post a Comment