Monday, 16 January 2017

Faiz Subri, bola sepak, bahasa, dan ulasan yang tak ada kena-mengena.

Haritu, Faiz Subri menang Puskas Award, sejenis anugerah untuk gol tercantik yang dijaringkan pemain bola sepak professional sepanjang sesuatu tahun. Dan sebagai peminat bola sepak Malaysia (aku minat bola sepak Malaysia, bukan pasukan bola sepak Malaysia. Sila pandai-pandaikan diri untuk besakan dua perkara ini) aku rasa bangga dengan pencapaian sebegitu rupa walaupun hakikatnya Faiz Subri bukanlah pemain yang prolifik dengan rekod permainan yang baik dalam Liga Super. Jujur aku cakap, Faiz Subri adalah antara lelaki Melayu paling bertuah sepanjang 2016, overnight success  beliau memang sesuatu yang patut kita beri penghargaan setelah beberapa lama bola sepak Malaysia berada dalam keadaan yang sangat membosankan untuk kita berikan perhatian yang benar-benar serius. Tak kisahlah dari segi pengurusan kewangan, talent management mahupun gosip percintaan antara pemain bola sepak Malaysia dengan selebriti tempatan yang sememangnya tak memberikan sebarang faedah kepada kita. Tapi macam biasa, setiap cerita sedap pasal orang kita pasti akan ada satu lagi sudut pandang/isu yang kurang sedap akan kedengaran, dan macam kes Faiz Subri ni, ialah isu "memartabatkan budaya bangsa Melayu" dan isu penguasaan bahasa Inggeris rakyat Malaysia. Baiklah, mari aku kupas isu kurang sedap yang pertama iaitu isu "memartabatkan budaya bangsa Melayu" dari sudut pandangan aku yang mungkin sekali tak akan dipersetujui kalau kamu adalah ahli UMNO, pemikir konservatif, ataupun kamu...apa-apalah!

Baiklah,sebenarnya aku memang tak faham langsung apa sebenarnya yang ada dalam fikiran golongan yang sungguh-sungguh mahu Faiz Subri berbusana Baju Melayu ke Zurich untuk menerima anugerah. Pada aku, cukup-cukuplah kita menjaja budaya kita sampaikan pameran kebudayaan di UK yang pernah kita sertai dulu (aku tak ingat apa nama pameran tersebut) dinobatkan sebagai exhibitor terburuk, dengan bahagian pameran yang digelar tak ubah macam kedai cenderamata. Aku tak faham, kenapa kita masih lagi suka membawa budaya tradisional kita ke majlis-majlis ataupun peristiwa-peristiwa penting bertaraf antarabangsa dengan menggunakan "memartabatkan budaya Melayu" sebagai lapik kebodohan kita sendiri. Ya, memang aku faham yang kita memang tak patut lupa mana asal kita, tapi cukuplah disitu. Tak perlulah kita  jadi bangang dan obses dengan budaya sendiri sampai orang luar pun menyampah. Kamu bayangkan kalau ada sultan yang mahu kurniakan pangkat Dato' kepada orang luar, misal kata beliau adalah seorang lelaki Scotland. Kamu rasa okey ke kalau dia datang dan pakai Kilt dan ambik anugerah dari Sultan yang kamu semua sayang tu? Lepastu dia hadiahkan pulak sebotol Single Malt Scotch kepada Sultan sebagai tanda terima Kasih. Mungkin, kalau mereka mendesak supaya Faiz Subri pakai baju Melayu hitam bersamping serta bersongkok, aku masih boleh terima. Tapi yang siap Tengkolok dengan Keris ni apa cerita? Tolonglah jangan malukan Faiz Subri, untuk orang Asia menjejakkan kaki ke anugerah FIFA bukanlah senang. Apatah lagi menang satu anugerah. Pasal isu bahasa aku malas komen panjang sangat. Mungkin ini masalah rakyat Malaysia sebenarnya. Kita terlalu merendahkan diri kita sendiri, sampaikan bila ada rakyat Malaysia menang sesuatu anugerah, kita memang cepat mencari sesuatu yang salah, macam kes kemahiran Bahasa Inggeris Faiz Subri. Ya, memang Bahasa Inggeris adalah penting, tapi apa kata kita lupakan seketika perkara macamni, dan berikan perhatian kita untuk individu macam Faiz Subri. Satu aje aku nak bagitau, pada yang tak tengok bola sepak dan tiba-tiba komplen pasal Bahasa Inggeris Faiz Subri ; The one and only language in football; your skills. Either you are a native-certain-language-speaker or not, that comes second or third. Above all, skills. Dan ya, rata-rata yag komplen pasal Bahasa Inggeris Faiz Subri adalah mereka yang kurang mahir berbahasa Melayu, ataupun golongan yang suka cakap "Sorry about my thrash Malay"  setiap kali mereka berbahasa Melayu di media sosial. Duduk Malaysia, tapi Bahasa Melayu macam gampang dan taknak improve, tapi komplen pasal orang yang kurang mahir bahasa kedua, dalam masa yang sama juga mengharapkan rakyat Malaysia bersatu (tak ada kena mengena).


Ingat ya, bahasa yang paling difahami dalam bola sepak adalah skil. Bukan English dengan slang Valleyspeak mahupun bahasa Catalan.













Sunday, 18 December 2016

Langkah-langkah mengenalpasti perempuan yang akan jadi cantik.

Semalam bangun tidur secara tiba-tiba aku terfikir, apa sebenarnya yang mengangkat seorang perempuan ke satu taraf yang kita boleh anggap sebagai cantik? Yang berkulit cerah? Sawo matang? tinggi? atau yang berbuah dada besar? Sebenarnya,baru-baru ini aku ada terperasan seorang perempuan cantik dekat tempat aku belajar. Dan apa yang buat aku terkejut ialah, dia sebenarnya baru aje jadi cantik. Sebab dengan tak sengaja (jujur, memang tak sengaja) aku ada terlihat  gambar lama dia yang membuatkan aku secara tak semena-mena cakap "Wow". Memang sejenis transition yang sangat berjaya. Boleh kata, dia memang dah berjaya melalui alam kebalighan (ada ke perkataan ni?) dengan begitu bergaya la kurang lebih. Kalau ikutkan, banyak dah aku nampak nampak transition bergaya dan berjaya macamni. Cuma aku tak terfikir je untuk tukarkan idea-idea ini, kepada sejenis tulisan tak bermanfaat. Jadi, untuk entri kali ini aku rasa aku nak dedikasikan untuk pemerhatian aku terhadap perempuan-perempuan yang baru sahaja jadi cantik yang didorong oleh azam dan kegigihan, diikuti dengan pelaburan wang mereka, serta sebagai panduan kepada lelaki-lelaki yang dah kecewa dengan perempuan yang sedia ada cantik, sebagai panduan. Mari kita beralih ke langkah yang pertama!



Mula memakai pendakap gigi

Aku kurang faham sebenarnya kenapa ada golongan manusia yang beli/jual fake braces untuk nampak cool/cantik (walaupun ada la sikit) . Diorang tak tahu ke menatang tu bahaya? OK, bukan ini yang aku nak cerita. Kita semua memang sedia maklum yang memang pendakap gigi ini fungsinya adalah membetulkan semula kedudukan gigi yang berterabur (aduhhh). Walaupun kadang-kadang aku berpendirian tegas bahawa perempuan dengan gigi taring yang sedikit tersembul  atau kedudukan gigi yang sedikit berterabur sebenarnya agak comel (Gigi taring yag tersembul dan kedudukan yang berterabur sedikit sahaja,OK? Bukan jongang atau rongak), tapi akhirnya aku terpaksa akui, perempuan yang memakai pendakap gigi atau selepas memakai pendakap gigi sebenarnya cantik juga. Jadi, kalau kamu nampak ada perempuan dengan keadaan gigi yang kamu kurang suka untuk lihat sudah mula memakai pendakap gigi, sila berjaga-jaga. Sebab dia mungkin jadi cantik! (Kemungkinan menjadi cantik turut bergantung kepada rupa paras individu, faktor pendakap gigi bukanlah sole factor penentu kecantikan).

Berjinak-jinak dengan produk kecantikan

Perempuan dengan produk kecantikan memang tak dapat dipisahkan. Tapi perhatikan juga, kalau-kalau kamu ada perasan tentang seorang perempuan yang sebelum ini tak kisah langsung dengan produk kecantikan, suka keluar rumah dalam keadaan yang sangat selesa tanpa perlu make up tetapi sangat berkeyakinan sudah mula berjinak-jinak dengan produk kecantikan, bersedialah, dia mungkin jadi cantik!

(Ulasan berbentuk pendapat yang kurang kena-mengena dengan perkara diatas)

Kalau ikutkan, aku sebenarnya orait aje dengan perempuan yang malas bersolek atau yang suka bersolek, atau yang memang hidup untuk bersolek. Yang penting, confident. Tapi apapun, aku ada juga lah bengkek dengan jenis perempuan yang dahla tak cantik, bermekap pulak tak reti, tapi berlagak macam dia Picasso dalam bidang mekap bermekap (ada ke perkataan ni?). Cadangan penyelesaian aku untuk golongan ini, silalah belajar cara bermekap dengan betul, atau berhenti berlagak, atau berhenti bermekap dan hiduplah dengan rasa tidak yakin sepanjang hayat.


Menukar bingkai kacamata kepada yang lebih trendy

Bingkai kacamata pun perlu diperhatikan. Transisi bentuk bingkai kacamata dari bentuk ala-ala Neo dalam The Matrix kepada Wayfarer atau Moscot adalah satu petanda besar bahawa seseorang individu  itu mula merasakan penampilan diri itu sangat penting (perlu aku ingatkan, kacamata untuk yang rabun sahaja. Kalau tak rabun lepastu beli Moscot Lemtosh dekat Danau kota buat pergi jalan-jalan, tak payah). 


Parut jerawat di muka mula pudar dengan kulit mulai cerah

Ini mungkin antara faktor paling besar dalam menganalisis kemungkinan seseorang perempuan akan menjadi cantik atau tidak. Kalau kita perhatikan, tafsiran cantik bagi perempuan Melayu bertudung mula berevolusi apabila rata-rata perempuan jenis ini (hahaha,jenis!) mula memandang kecantikan dari suatu sudut pandang yang baru ; iaitu kulit putih melepak dengan pipi kemerah-merahan dan juga warna anak mata yang sangatlah tidak melambangkan bangsa mereka iaitu Melayu. Lazimnya, bagi memadankan kulit putih melepak ini, kanta lekap jenis bukan untuk orang rabun yang berwarna-warni sering digunakan. Warna yang paling lazim ialah biru, kelabu, dan coklat gelap (maaf, aku memang kurang mahir dalam mengelaskan warna mengikut jenis  macam coral blue, cake pink, dan sebagainya) sebab warna-warna lain macam hijau cair berpotensi terlihat tersangatlah fake. Tafsiran baru untuk "cantik" ini mungkin sekali bermula sekitar 2012 atau 2013 apabila munculnya syarikat-syarikat macam Qalaqisya yang menjual pakaian fesyen terbaru yang Sharia compliant™ bagi perempuan-perempuan Melayu bertudung untuk kekal hip dan sentiasa "cucuk rapat" dengan perkembangan fesyen terkini tanpa perlu mengorbankan aurat mereka (walaupun sebenarnya ada je pakaian yang nampak macam Sharia compliant™ tapi sebenarnya tidak). Syarikat-syarikat macamni memang kalau kita perhatikan akan menggunakan model-model dengan karakter diatas. Kulit putih melepak, anak mata warna-warni dengan pipi merah jambu. Tak ada lagi aku perhatikan untuk tahun 2014-2016 syarikat pakaian Sharia compliant™ yang menggunakan model-model dengan paras kemelayuan yang tinggi; kulit kuning langsat atau sawo matang, pipi tak merah dan senyuman jenis yang memerlukan kita perhatikan beberapa kali untuk dapatkan "manis" dia. Senang cerita, dalam kata lain yang kurang fancy, ialah "ayu". Contoh perempuan cantik jenis Melayu? Wan Sharmila dan Prisia Nasution. Jadi nasihat aku, kalau nak cari perempuan Melayu yang cantik dengan jalan yang agak senang, carilah yang ada karakteristik di atas, sebab perempuan Melayu yang mengejar kecantikan jenis Melayu sebenarnya memang dah susah nak cari. 

Mula bimbang tentang saiz buah dada yang sesuai

OK, bagitahu aku lelaki mana je yang tak suka buah dada? Lantaklah dari ahli Pas sampai lah ke Parti Liberal Kanada, dari pelajar Usuluddin sampai ke pelajar falsafah barat, semua suka,kan? cuma yang membezakan mereka ialah mereka tunjuk atau tidak (bahagian atas ini sebenarnya adalah sejenis ayat untuk memberitahu orang bahawa aku bukanlah seorang pervert walaupun hakikatnya aku pun suka buah dada). Aku sebenarnya orait aje dengan perempuan yang ada buah dada kecil atau besar, asalkan tak bangang atau bimbo. Tapi itulah, buah dada ni kira macam bonus gaji la, kalau ada yang kecil pun ok, biasa-biasa pun ok, kalau dapat bonus besar setahun gaji tu yang buat orang bahagia,kan? (Tapi kalau aku analogikan buah dada dengan bonus gaji, mungkin bonus setahun gaji adalah terlalu besar. Aku lebih minat bonus yang mungkin sebulan dua punya gaji, aku rasa selesa tapi tak terlalu boros). Jadi, mungkin sebab inilah, perempuan yang mahukan dirinya menjadi cantik akan mula risau dengan saiz buah dadanya. Taknak kecil sangat, besar sangat pun taknak sebab takut nanti semua lelaki asyik pandang ataupun takut nanti semua baju jadi tak Sharia compliant™. Tapi kalau kecil sangat nanti tak menarik lah pulak. Akhirnya mereka pun memilih bonus sebulan gaji. Ah ha.



Aku rasa mungkin sampai sini sahaja. Mungkin untuk tahun-tahun akan datang definisi cantik dalam kalangan perempuan Melayu akan berubah? atau mungkin juga definisi lelaki Melayu hensem pula yang akan jadi  hampir sama dengan definisi perempuan Melayu cantik? Putih melepak, mungkin dengan jambang sedikit dan juga rambut yang diwarnakan yang mana bahagian mewarnakan rambut adalah bahagian yang paling aku tak suka,lagi-lagi bila ianya datang dengan potongan undercut atau uppercut ala Wak Doyok seperti mana yang selalu digayakan anak-anak orang kaya yang selalu bergambar disamping kereta mewah ayah mereka. Mungkin mewarnakan rambut hanya relevan pada aku kalau rambut kamu panjang dan kulit kamu cerah dan kamu ada jambang. Dan warna yang OK mungkin sekali warna blonde, macam yang pernah aku lihat pada seorang pemilik kedai barangan preloved di TTDI yang agak terkenal dalam scene  di Lembah Klang. Dan aku sangat tak suka lelaki Melayu dengan rambut warna inai dengan semua gaya yang boleh didapatkan di Joe's Barber (hanya pendapat). 



Tuesday, 1 November 2016

Kita dan kekeliruan kita yang tak setel-setel

Sebenarnya aku memang berhasrat nak lupakan pasal laman ini sebab aku terlupa kata laluan dan aku secara tiba-tiba jadi malas nak menulis sebab akhir-akhir ini aku agak produktif, jadi aku mungkin sekali telah kekurangan idea untuk menulis. Maklumlah, memang laman ini wawasannya adalah untuk tidak mempunyai wawasan, disamping mengurangkan rasa berguna yang ada dalam diri sesiapa yang membaca. Jadi, kalau aku berada dalam mode produktif maka sangatlah tak sesuai untuk aku menulis. Untuk aku menulis, aku mesti berada dalam keadaan yang sangat malas, sama ada dengan rokok di tangan sambil sandar atas kerusi, ataupun selepas makan dengan banyak (sambil merokok,atas kerusi juga). Tapi disebabkan ada seorang kawan se tempat belajar dengan aku suruh aku update laman ini sebab katanya dia seronok baca (aku tak faham kenapa,sedangkan aku jangka laman ini adalah laman untuk orang yang tak berhala tuju macam aku, tapi kawan aku ini nampaknya memang macam seorang yang ada hala tuju), aku update. Ini semua pasal kau, John.

Jadi beberapa hari lepas aku tertarik dengan satu isu yang kecoh dekat WhatsApp group aku. Apa yang buat aku tertarik ialah, WhatsApp group ini sebenarnya adalah group kelas aku yang sebenarnya lebih banyak bersembang daripada membincangkan hal belajar yang kadang-kadang ada juga buat aku menyirap (kalau korang terbaca laman ni, maaf ya?) tapi, kali ini topik bersembang yang mereka sembangkan adalah adalah topik yang agak luarbiasa. Iaitu apabila ada seorang dari ahli group menghantar gambar sebuah tin bir tanpa alkohol yang dibuat oleh sebuah syarikat pengilang arak terkemuka di Malaysia dan bertanya kepada semua ahli kumpulan tentang hukum meminum bir ini. Aku jadi kaget.


Ini dia, bir tanpa alkohol yang bakal mengelirukan kita semua tanpa mengira agama!





Jadi, sebenarnya apa hukum minum bir tanpa alkohol ni? Halal ke haram? Baiklah, pada pandangan aku yang mempunyai hanya pengetahuan yang asas tentang agama aku rasa minuman ini hukumnya adalah haram. Menyumbang pada pengilang arak,kan? Tapi, bukan itu yang aku nak nyatakan di sini. Yang sebenarnya aku nak nyatakan disini ialah bila munculnya golongan yang menentang pengeluaran bir tanpa alkohol ini atas alasan ianya akan mengelirukan umat Islam. Berikut mungkin dialog antara 2 lelaki muslim di sebuah convenience store berdekatan rumah mereka;



Lelaki 1: Eh, menarik juga air ni. Ada gambar harimau pulak tu. Macam arak pun ada,tapi smart sikit design dia

Lelaki 2: 

Lelaki 1: Nak belilah!.....Alamak ini bir ni! Walaupun tanpa alkohol tapi tetap menyumbang pada pengilang arak! gulp gulp gulp  iyewwww kelat kelat masam pulak tu, sebijik macam arak! Terkelirunya! gulp gulp gulp ini semua agenda Yahudi Cina DAP!

Lelaki 2: 

Lelaki 1: (Triggered)


Macamnilah, kalau kamu tergolong dalam golongan Lelaki 1, dan kamu TERminum air air jenis diatas, sesungguhnya kamu tak boleh menyilapkan sesiapa atas kejumudan/kejahilan kamu. Dah nyata ada jenama arak, pergi minum siapa suruh? lepastu salahkan Yahudi/Cina DAP? dan kalau kamu nak tahu sememangnya syarikat pengeluar arak tersebut memang sensitif pasal sensitiviti orang Melayu/Islam/UMNO dan pengeluaran produk-produk sebegini bukanlah disasarkan untuk golongan diatas, sebaliknya adalah untuk golongan yang mahu berhenti meminum minuman beralkohol tapi tak mahu alkohol. Tapi nak minum arak. Tapi taknak alkohol. Tapi masih nak minum arak. Cuma kalau boleh nak yang tak ada alkohol. Tapi nak yang rasa sama macam arak. Ha?

Jadi kalau kamu TERminum air air jenis diatas, jangan lah melenting dan tenangkan diri. Buang air itu dan berlalu pergi atau teruskan minum kalau mahu. Kalau mahu cuba macamana rasa bir tapi mahu rasa kurang  bersalah, mungkin kamu boleh cuba minuman ini. Tapi jangan pulak salahkan syarikat pengeluar atas dasar konon kamu terkeliru, sebab mengelirukan pengguna adalah sesuatu yang tidak beretika dalam perniagaan. Dan mereka adalah syarikat yang bukan kecil.

Tapi sebenarnya, kepada sesiapa yang mahu cuba-cuba masuk scene minum bir sebab terpengaruh dengan kata-kata rakan sebaya seperti "smooth", "malty and zesty", "Very sweet at the beginning with bitter aftertaste", "Hoppy" , silalah jangan percaya, sebab memang kamu takkan rasa semua itu kecuali rasa masam-masam kelat dan berakhir dengan rasa pahit yang kurang familiar (mungkin bahagian bitter aftertaste itu betul). Sebabnya,kalau iya pun, korang tau ke rasa Hops tu macamana? dan kalau kamu nak tahu apa perbezaan bir yang smooth dengan yang tidak smooth, tapi tak nak beli bir sebab takut membazir selepas kamu baca ini, aku cadangkan kamu pergi beli carbonated Ribena dengan Coke, lepastu bandingkan "kekerasan" carbonationnya. Dapat? dan dari situlah kamu dapat bandingkan sama ada satu-satu tin bir itu adalah kualiti import dari Jerman/Belgium atau hanya kualiti buatan Sungei Way. 

Aku pernah minum arak ke tak? entahlah. Aku pernah minum arak atau tidak itu tak penting. Aku pun sebenarnya suka dengan satu urban saying yang aku pernah jumpa di Twitter yang menyatakan "How do you know if some Malays drink alcoholic drinks? They tell you" . Jadi, lebih baiklah kalau aku tak bagitau kamu yang aku pernah minum, atau masih minum atau pernah minum untuk coba-coba .Sebab aku nak berahsia dan aku taknak orang anggap aku sebagai seorang yang suka menunjuk-nunjuk.

Aku pernah minum arak ke?

































Sunday, 31 January 2016

Kupasan 2015

Aku rasa entri kali ni memang agak lewat untuk mengupas tahun 2015. Tapi apapun,tahun 2015 sememangnya satu tahun yang mencabar. Banyak juga isu-isu dan perkara yang telah berjaya menarik perhatian aku baik dari seremeh-remeh isu macam isu salib, isu couple islamik sampai lah ke isu-isu nasional macam IMDB,vape, dan isu Plaza Lowyat (dua isu terakhir bukanlah isu nasional, tapi sengaja dinasionalkan bagi menyahnasionalkan isu nasional yang sebenar). Tapi bagaimanapun, untuk entri kali ini aku takkan kupas isu nasional yang penting sebab benda-benda macamni memerlukan aku untuk benar-benar meneliti rentetan dan benda jadah lain yang terjadi dalam sesuatu isu bagi memastikan tulisan aku betul-betul berkualitas untuk dibaca, dibahas dan diulas semula, ataupun dibuat-buat baca sahaja. Macam biasa, isu-isu yang akan dibincangkan di laman ini selalunya isu masayarakat yang tak seberapa nak penting dan signifikan (sesuai dengan matlamat aku menjadikan laman ni sesuatu yang sangat tak berguna pada masyarakat). Secara peribadi, 2015 pada aku adalah tahun penuh gelora,gelodak,ups and downs dan bermacam lagi perkataan yang kamu boleh gunakan untuk gambarkan liku-liku kehidupan seorang pelajar, tapi kadang-kadang terpaksa hadapi taik yang seorang lelaki pertengahan 30an hadapi. Antara yang paling sulit ialah mengalami kekeliruan sama ada untuk terus memboikot kerajaan sedia ada dengan cara membeli rokok yang tak kena cukai ataupun tukar cara baru macam menulis karya-karya sosialism beraliran Marxism serta terbit dan edarkan secara percuma kepada orang ramai. Memandangkan aku rasa malas sikit masatu, jadi aku pun teruskan dengan cara konvensional aku, dengan membeli lebih banyak rokok yang "terlepas" cukai. Baiklah, aku pun dah rasa bahagian intro ni dah agak panjang berbanding tulisan-tulisan lepas, jadi marilah kita ke kupasan yang pertama.


Kemunculan feminis yang lebih galak

Pada awalnya, aku memang rasa aliran feminisme ni adalah sesuatu yang relevan dan baik bagi meneutralkan bilangan dan hak jantina untuk golongan wanita agar tiada lagi diskriminasi jantina. Justeru,sistem meritokrasi mana-mana organisasi dalam negara takkan tercemar dengan perbezaan jantina (mungkin juga akan wujud, tapi atas sebab yang tak dapat dielakkan contohnya wanita mengandung dalam bidang-bidang yang memerlukan ketahanan fizikal). Bila muncul isu-isu begini yang pada suatu skala menjadi isu yang sangat penting dalam sesebuah negara pada otak aku ada 3 benda iaitu safety,education,healthcare yang juga merupakan antara asas utama dalam membangunkan sesebuah negara. Tapi bila aku fikirkan semula, tak adalah pulak kerajaan/mana-mana organisasi yang mengenakan diskriminasi jantina dalam heathcare. Belum ada lagi rasanya hospital yang menahan wanita yang dah separuh jalan bersalin dari masuk wad semata-mata nak kasi laluan untuk seorang mat motor yang cedera ringan akibat layan kona. Keselamatan, ada la sikit.Contohnya para neo-feminist ni mempersoalkan keselamatan wanita terutama di tempat kerja dan tempat awam dari mengalami gangguan seperti ada orang cakap "Hi" (Kahkahkah). Tapi sebenarnya, aku dapat lihat banyak juga langkah yang kerajaan dah ambil untuk mempertingkatkan lagi keselamatan golongan wanita (Fuh,aku puji kerajaan). Sebagai contoh, KTM dan LRT pun dah ada koc untuk wanita, dekat kebanyakan pusat beli-belah pun kita dah boleh nampak wujudnya tempat letak kereta yang memang dikhaskan untuk wanita sahaja. Dari segi pendidikan, aku memang tak rasa wanita kena diskriminasi. Pelajar perempuan pun lagi ramai dari pelajar lelaki. Dari segi peluang pekerjaan mungkin ada la sedikit, contohnya bengkel motor yang kurang berminat nak ambil mekanik perempuan dan beberapa bidang pekerjaan lain yang mengurangkan kuota dan permintaan mereka terhadap buruh wanita atas faktor tertentu seperti telah berkahwin. Jadi, kalau dah semua ok, amenda je sebenarnya yang feminis ni perjuangkan? Pada aku, tak ada apa sangat pun. Isu mereka mungkin sekali tertumpu kepada isu akhlak dan perlakuan. Feminist pada 2015 mahukan kebebasan dalam berakhlak. Mereka mahu merokok, menghisap vape dengan rileks, serta memakai kain skirt sependek mungkin tanpa ada orang yang menjeling langsung. Mereka inginkan untuk tidak berbaju ditempat awam dan dalam masa yang sama tidak mahu dirogol,disumbaleweng,mahupun dijengah. Ini lah sebenarnya yang benar-benar dimahukan oleh neo-feminist bagi tahun 2015. Rata-rata feminist jenis ini, kita lihat majoritinya berada dalam usia akhir belasan tahun dan lingkungan 20an, dan berakhlak serta berketerampilan kurang disenangi untuk first impression. Kalau kamu perhatikan, feminist jenis ini gaya pemakaiannya lebih kurang sama. Gemarkan sesuatu yang agak ironic seperti tindikan revolusionari ditempat-tempat yang kurang wajar, mewarnakan rambut dengan warna janggal dan yang paling menjadi tanda utuh seorang feminist sejak zaman berzaman ialah rambut pendek ala Pink ataupun Miley Cyrus. Kesimpulannya,aku rasa feminist pada 2015 hanya mahukan perhatian umum dengan mengetengahkan isu-isu yang kurang penting dan dipentingkan. Golongan ini juga seringkali menggunakan terminologi "Meleis" yang merujuk kepada segolongan bangsa Melayu yang mereka rasakan berpemikiran kolot dan tidak kedepan. Frasa "Educate yourself" menjadi wajah rasmi mereka dalam menegur golongan-golongan yang tidak sealiran dengan mereka tak kiralah secara ofensif mahupun melalui pendekatan hikmah (Imam muda,gitu). Kesimpulannya lagi, feminisme 2015 hanyalah cakap-cakap menuding jari sana-sini sahaja dan tiada tindakan yang lebih konkrit diambil. They don't walk their talks, itulah dianya. Tapi apapun, pada aku selagi mereka tak memaksa dan menonyoh masyarakat untuk menjadi sealiran dengan mereka, mereka berhak menyuarakan pendapat dan ideologi mereka.




Kemunculan minuman yang dijual dalam cawan saiz luarbiasa besar

Kali pertama aku minum minuman jenis ini ialah di Kg. Raja Uda, Klang dari jenama (patut ke aku panggil jenama?) "Tea Rex". Memang sedap,saiz cawan yang luarbiasa besar,dan (nampak) banyak. Mulanya aku memang ingat minuman dengan rasa yang boleh tahan sedap disertakan dengan isipadu yang (nampak) banyak ni memang trademark  kedai ini sahaja. Tapi tak lama lepas itu, aku nampak banyak pulak orang mula meniaga benda alah ni. Secara tiba-tiba jadi hype gila babi. Mungkin sifat masyarakat kita yang memang gemarkan perkara-perkara yang hyped dan viral jadi punca kegalakan ketumbuhan peniaga-peniaga kecil yang menjual minuman jenis ini. Kalau kita ambil contoh makanan-makanan yang merupakan antara makanan terawal yang menjadi hype dan viral dalam masyarakat kita macam Pavlova, kek Red velvet (yang ini,aku suka), Crepe, makanan tempatan yang ditambah elemen barat macam Goreng Pisang Cheese dan Murtabak Cheese, aiskrim pasu, dan sekarang, minuman yang rasanya boleh tahan sedap dengan isipadu yang (nampak) banyak dan dijual dalam cawan bersaiz luarbiasa besar. Dan semua perniagaan makanan yang hyped ini kebanyakannya tidak bertahan lama disebabkan pasaran yang terlalu lepu dan kurang variasi dalam produk. Mungkin ada beberapa peniaga yang masih bertahan dengan perniagaan ini dan siap ada yang lagi besarkan perniagaan jadi macam francais pun ada, Antaranya ialah Goreng Pisang Cheese GorPis di Damansara, Pirate Coffee yang aku dapat lihat boleh tahan menjadi-jadi, dan juga Murtabak Cheese Majid No.1 di Johor Bahru (tak silap aku, pemilik kedai ni dah siap patenkan murtabak cheese ni jadi  trademark dia). Tapi, minuman dengan cawan bersaiz luarbiasa besar ini sedikit mengecewakan aku sebab kuantitinya yang nampak sahaja banyak, tapi sebenarnya, macam biasa, ais sahaja yang berlambak, base dia memang sikit. 3 suku cawan sahaja. Kecewa sial.



Contoh minumaan dengan saiz cawan luarbiasa besar dan isipadu yang (nampak) banyak.



Humble brag

Dengan kenaikan populariti media sosial macam Twitter dan Instagram yang memang mendadak sejak 2013, berita tentang sesuatu isu memang akan tersebar dengan pantas. Macam media-media sosial yang kita pernah guna dulu, ada sesuatu yang buatkan kita rasa seronok untuk menggunakan media sosial. Macam MySpace misalnya, kita memang seronok mengumpul komen di gambar-gambar yang memang kita akan gelak kalau tengok balik pada tahun 2016 yang kita pernah upload satu masa dulu. Sama juga dengan dua media sosial paling utama untuk 2015: Twitter dan Instagram. Dan bagi media sosial Twitter, perkara yang paling orang seronok kumpul ialah jumlah Retweets. Baiklah, semua dekat atas ni tadi cerita lain. Yang aku nak kupas sebenarnya ialah, perangai Humble Brag yang kelihatan semakin ketara dalam media-media sosial. Bagi yang kurang jelas mengenai definisi Humble Brag ini, terminologi ini merujuk kepada perangai sesetengah masyarakat kita yang ingin bersifat riak dan takbur atas pencapaian/kelakuan mereka, tapi dengan cara merendah diri (nampak macam merendah diri). Perangai Humble Brag ni aku perhatikan ada beberapa jenis, tapi yang paling mudah ialah jenis secara direct Humble Bragnya ataupun secara indirect. Pernyataan dibawah mungkin sekali contoh-contoh Humble Brag yang paling lazim aku pernah nampak di laman  sosial.



"Budak-budak U sekarang pemalas! tau semua benda nak senang aje, asyik la mintak scholarship. Aku dulu pernah berniaga gula-gula kapas semata-mata nak survuve dekat U. Boleh aje skor cgpa 3.8 dan terus diambil bekerja dengan Kencana Petroleum,sebuah syarikat peneraju dalam oil and gas!"

"Aku ada Degree dari UM, Master dari Yale dan PhD dari Oxford. Pernah juga buat seketika aku menuntut dengan Shaikh Soleh Al-Auta di Al Azhar. Tapi disebabkan kerajaan tak efisien, aku menganggur."



Jadi, dialog diatas mungkin sekali kamu pernah nampak dalam mana-mana media sosial. Walaupun kadang-kadang bottom line dia betul dan relevan, tapi sikap Humble Brag ni aku perhatikan dah jadi macam budaya lah pulak dalam memberikan nasihat kepada anak-anak/orang muda/ mahasiswa/ orang tak kuat agama/ pelajar dengan keputusan peperiksaan yang kurang memberangsangkan. Ayat macam "Aku dulu lagi susah dari kau" dan "Kau ni manja sangat" yang memang dah menjadi ayat lazim masyarakat kita dalam memberikan nasihat, kini ditambah lagi dengan pont of bragging yang kononnya inspirational macam menayangkan sijil yang pernah diperolehi dan harta yang sedang dimiliki yang sebenarnya akan membuatkan pihak yang dinasihat rasa agak down dengan diri senidiri. Nasihat aku, kalau nak nasihatkan orang, ingatlah yang tak semua orang akan berada dalam situasi kita dahulu, dengan peluang yang kita pernah ada dahulu (ini kali pertama rasanya aku tulis satu ayat yang sangat membina dalam blog ni,fuhh).



Kemerosotan penggayaan seluar senteng

Apa yang aku perhatikan sepanjang ketiga-tiga suku tahunan bagi 2015, penggayaan seluar senteng dalam masyarakat mengalami kemerosotan berskala kecil. Kalau dulu (tak ada lah dulu sangat) aku ke Kuala Lumpur dan beberapa urban hotspots macam Bangsar dan SS/15, gaya seluar senteng yang dipadankan sama ada dengan stokin atau tanpa stokin memang popular. Tapi pada suku ketiga 2015, aku jarang sekali dapat melihat trend ini digayakan. Ada, tapi tak sekerap dulu. Aku pun sebenarnya kurang faham kenapa, tapi aku suka juga dengan penggayaan seluar senteng ni. Tapi nasihat aku, tolonglah jangan gayakan seluar senteng kamu dengan moccasin. Nampak macam gigolo yang mainstream superior tapi berlagak ada citarasa fesyen tersendiri. Melainkan kalau memang imej sebegitu adalah objektif sebenar kamu dalam berfesyen,silakan. Kalau kita perhatikan penggayaan seluar senteng ni, kali pertama aku lihat adalah pada tahun 2008 dalam majalah Galaxie yang digayakan oleh sebuah band yang aku sendiri dah tak ingat. Seluar senteng pada tahun ini digayakan dengan sepasang Vans Zapato Del Barco. Pada tahun 2009 dan 2010 penggayaan fesyen seluar senteng mengalami populariti yang agak mendadak lagi-lagi dengan kemunculan basikal Fixed Gear yang membuatkan fesyen seluar senteng lebih praktikal dan nampak fungsinya selain hanya untuk bergaya semata-mata. Dan tahun ini juga berlakunya pendadakan dalam jumlah orang yang menggayakan seluar senteng dengan sepasang kasut boat shoe dari jenama Sperry Topsider dan juga Sebago Docksides dan beberapa lagi jenama lain. Untuk tahun 2011, pemgaplikasian fesyen seluar senteng diteruskan lagi dengan padanan boat shoe cuma tahun ini menunjukkan kenaikan populariti jenama Vans lagi-lagi model Zapato Del Barco yang direka dalam bentuk boat shoe cuma dengan material kanvas dan juga tapak tanpa corak yang boleh menyebabkan kamu jatuh tergolek kalau-kalau berjalan di jalan yang licin dan berair. Pada pendapat aku, penggayaan seluar senteng dipadankan dengan Zapato ni meraih populariti mungkin sebab kos bagi mendapatkannya lebih murah sebagai alternatif kepada boat shoe sebenar yang harganya agak mahal . Beralih ke tahun 2012, populariti boat shoe yang dipadankan dengan seluar senteng semakin merosot berikutan masyarakat sudah beralih ke arah memadankan seluar senteng dengan kasut sukan yang boleh buat jalan-jalan macam Nike  Lunar Vintage, New Balance 574, dan macam-macam lagi kasut sukan moden dan klasik dengan lebih fungsi fesyen berbanding fungsi sukan. Gaya ini aku perhatikan berterusan dengan agak lama sehinggalah awal/pertengahan 2015 yang mana masyarakat mula beralih kepada memadankan seluar senteng dengan sepasang basic sneaker macam Chuck Taylor, Vans Authentic, Jack Purcell, Tretorn Nylite dan macam-macam lagi. Perkara ini mungkin juga akibat dari kelepuan pasaran kasut sukan hype. Warna yang dipilih untuk dipadankan juga warna-warna universal dan sangat lah asas macam hitam, putih, kelabu dan putih kekuningan. Dan semenjak munculnya gaya ini, aku perhatikan perlahan-lahan masyarakat mula meninggalkan fesyen seluar senteng agar nampak lebih asas. Basic is the new black. Untuk tempoh mendatang, aku masih belum mampu ramalkan, mungkin untuk kelihatan lebih asas masyarakat mula untuk berjalan tanpa selipar, kemudian tanpa baju, dan akhirnya telanjang bulat sambil berjalan-jalan di Bukit Bintang tapi pakai Wayfarer untuk tambah sedikit gaya. Siapa tahu?



Jadi aku rasa, mungkin sampai takat ini sahaja yang aku mampu kupas tentang perihal yang agak kurang berguna yang dapat aku perhatikan sepanjang tahun 2015. Aku harap, dengan entri ini, pembaca yang rasa diri mereka sangat dihargai, dan selalu mencurahkan bakti kepada masyarakat akan berasa sedikit kurang berguna terhadap diri sendiri, bersesuaian dengan matlamat aku untuk membentuk masyarakat kurang berguna bagi memacu negara maju menjelang pemerolehan status negara maju tahun 2020. Sekiranya terdapat sebarang ketidakpuashatian atau komen, sila pendamkan dalam hati sebab aku taknak dengar. Terima kasih.
































































Monday, 14 December 2015

Stereotaip dan cara-cara mengenalpasti MLM 2015 (Dan tahun-tahun sebelumnya).

Sebenarnya, kalau nak diikutkan betul cerita pasal MLM ni memang dah basi, dah tak ada nak orang dengar dan baca sebab MLM ni dalam apa jenis gerak kerja sekalipun orang dah tau hasil dia-perniagaan sementara/sekerat jalan yang akhirnya akan membawa peserta program-program MLM ini kembali kepada industri makan gaji semula, ataupun berhenti dari MLM dan menceburi perniagaan baharu dan terpaksa membuat loan baru dari bank sebab duit untung masa MLM dah habis beli kereta continental terpakai secara cash dan pergi umrah setiap bulan. Tapi, bila aku perhatikan balik, banyak juga muncul trend baru dalam kalangan upliner MLM untuk rekrut budak-budak baru duduk bawah dia. Jadi, kali ini aku rasa aku nak cerita sikit pasal stereotaip MLM bagi tahun 2015 dan tahun-tahun sebelumnya (aku masukkan sekali stereotaip lapuk MLM supaya tulisan kali ini tak terlalu pendek dan bosan).



1. Kereta/motorsikal.

Kalau diperhatikan tahun-tahun sebelum ini, untuk penggunaan kereta, golongan MLM yang dikatakan sudah "berjaya" sebenarnya lebih cenderung untuk menggunakan kereta-kereta oriental yang dibeli baru/ 2nd hand dari jenama-jenama macam Honda dan Toyota dan rata-ratanya dari jenis MPV sebab kebanyakan upliner dah berusia dan beranak-pinak. Dari jenama Toyota, kenderaan paling lazim ialah model Alphard atau Vellfire recon, Estima (juga sebahagian besarnya adalah recon), dan juga jenis Ipsum (juga recon sebab Toyota Ipsum memang tak ada dalam pasaran di Malaysia). Paling mainstream untuk jenama Honda pula ialah dari model Honda Odyssey dan Stream (sebab yang sama iaitu MPV yang memudahkan mereka untuk angkut downliner mereka untuk menghadiri mesyuarat agung). Untuk kereta Continental pula, golongan upliner memang sukakan kereta-kereta dari Jerman terutama Mercedes-Benz. Dan model paling lazim ialah Mercedes Kompressor C180 dari tahun 2001 dan 2003. Tapi dibeli tahun 2005-2007 sebab harga Mercedes lambat jatuh atas permintaan dalam pasaran yang tinggi. Tapi, kalau kita tengok perkembangan MLM tahun ini dan 2-3 tahun sebelumnya, golongan MLM ni dah ambik pendekatan berbeza sikit dalam bab penggunaan kenderaan ni. Kereta-kereta oriental dengan model-model seperti di atas dah kurang digunakan untuk dibuat modal bagi mempengaruhi dan merekrut orang lain. Sebaliknya, diorang lebih cenderung untuk menggunakan kereta-kereta continental yang masih lagi buatan Jerman, dan buatan beberapa negara lain. Lagi power, beberapa syarikat MLM dah mula menggunakan supercar macam Lamborghini Gallardo dan Aventador, Ferrari yang modelnya aku tak tahu dan Nissan GTR (satu-satunya non-continental car). Tapi, dari segi penggunaan motorsikal pula, masih belum outstanding bagi aku sebab motorsikal yang sering jadi modal tak lain KTM 200, Kawasaki z800, takpun Yamaha R1. Belum lagi ada yang pakai cafe racer dari jenama Triumph atau Enfield. Dan mujur belum ada lagi orang MLM yang gunakan America Muscle sebagai modal untuk merekrut downline (Mungkin sebab cukai jalan dan penggunaan petrol yang banyak serta susah nak cari spare part menjadi masalah kepada mereka). Pheww.


Antara kereta yang paling lazim digunakan upliner MLM.






2. Coat/blazer/jacket/suit

Bagi aku untuk pakai apa jenis coat/blazer/jacket (baca: jaket yang aku maksudkan disini ialah dinner jacket) sebenarnya memerlukan ketelitian pengguna untuk pastikan saiz,potongan,warna, dan gaya yang sesuai. Ada yang sesuai untuk makan malam, ada yang sesuai untuk majlis cocktail, ada yang sesuai untuk parti yang santai, dan ada yang sesuai untuk majlis korporat yang formal. Tapi, kebanyakan MLM ni diorang tak peduli. Janji blazer/coat dan nampak kaya dan bergaya. Itulah dia masyarakat kita, biar papa asal bergaya. Dari segi potongan pula, macam aku cakap tadi, mereka memang tak peduli. Dan selalunya  mereka akan bantai pakai kawan/pakcik/upliner punya yang lazimnya saiznya lebih besa daripada saiz yang mereka pakai. Dan kalau kamu lihat tatacara pemakaian suit yang betul, memang diorang akan galakkan untuk membeli blazer/coat/jacket yang ready made dengan satu saiz lebih kecil dari saiz kamu, supaya tak besar dan nampak macam "bozo". Katanya lah. Lagi satu jaket yang paling popular dalam kalangan ahli MLM ini ialah jaket yang aku sendiri tak tau nama sebenar dia tapi aku selalu dengar orang panggil jaket korporat yang bagi aku sememangnya tak bergaya langsung dan didatangkan dengan sulaman nama ahli dan lambang syarikat MLM yang menjadi kemegahan setiap ahli yang menyertainya.



Ewww....



3. Janji manis


Banyak juga sebenarnya orang yang cuba pengaruhi mak bapak aku dulu untuk join benda alah MLM ni. Sekali dua memang mak bapak aku dulu terkena jugaklah tapi selepas kali-kali yang seterusnya, diorang dah menyesal. Kali terakhir orang tua aku terpengaruh dengan dakyah MLM ini adalah sekitar 2006-2007 dengan sebuah syarikat alat penjimat petrol kenderaan "Stromberg". Benda alah ni katanya memang mujarab, boleh save minyak up to 20%. Tapi yang tak bagusnya itulah, konsep operasinya adalah MLM. Paling menarik pasal operative system dia ialah dia gunakan slogan 4D ataupun Duduk Diam Dapat Duit. Nampak? Dari slogan sahaja kita boleh tahu macamana sesebuah organisasi perniagaan berjalan. Akhirnya, tak silap aku owner syarikat ini yang namanya cuma aku selalu orang panggil ialah Haji Jai kena tangkap, puncanya apa aku sendiri tak pasti sebab aku pun masih sekolah rendah waktu itu dan memang aku tak kisah sangat benda alah macamni. Pelabur-pelabur macam bapak aku pun tak dapatlah merasa dividen "Duduk Diam Dapat Duit" dari syarikat ni. Tapi mujur, dia pulang balik duit modal pada pelabur. Baiklah, itu baru cerita pasal "Stromberg" punya manifesto. Macamana pula dengan syarikat MLM yang lain?
Sebenarnya kalau kamu perhatikan semula janji-janji manis syarikat MLM ni, rata-ratanya hampir sama iaitu:



"Abang sekarang umur berapa? 32? sampai bila abang nak kerja makan gaji bang?
abang pikir eh, sebulan gaji abang RM 2,100. Gedebuk gedebak bil itu bil ini, pampers, susu, nafkah isteri,tuptup gaji abang dah habis. Abang taknak ke merasa financial freedom dan relaks masa abang dah tua nanti? takkan nak makan duit pencen je? EPF pon berapa lah sangat bang?"

Itu kalau sasaran mereka adalah golongan berusia lewat 20an hingga awal 40an yang bekerja makan gaji. Kalau sasaran mereka adalah pelajar universiti berusia 18 tahun hingga pertengahan 20an lain pula jadinya:



"Cuba awak fikir, awak masuk belajar pakai PTPTN. Habis belajar belum tentu dapat kerja tau. Dahtu siapa nak bayar hutang awak? Mak bapak jugak yang susah. Kalau awak join kami, masalah semua setel. Hutang PTPTN boleh bayar, habis belajar kalau taknak kerja pun takpe. Teruskan bisnes ni. InshaaAllah awak berjaya dengan usaha yang gigih. Taknak ke jadi millionaire muda-muda? Taknak ke gembirakan mak bapak kita tiap-tiap bulan boleh hantar diorang pergi umrah, tiap-tiap tahun pergi haji, tengok diorang seronok tengok adik berjaya? Taknak ke capai relationship goals denga girlfriend adik? (Ok,yang ini aku tambah sendiri.)

Perhatikan keywords yang paling utama: financial freedom, kereta besar, pencen, relaks dan hantar orang tua menunaikan umrah/haji. Dan paling penting, masa perbualan ini sedang berjalan nada suara memang tinggi dan bersemangat kalau diadakan secara beramai-ramai dan diakhiri dengan  laungan kata-kata semangat yang seringkali kita dengar di kem-kem Pengakap masa sekolah dulu, kem bina semangat dan juga kem solat. Kalau secara individual pula, upliner selalunya memang akan gunakan non-verbal language seperti nada suara yang memang memukau,eye contact yang tajam dan serius serta tepukan bahu yang sangat mendorong kamu untuk turut serta perniagaan mereka.


Jadi, aku rasa mungkin sampai sini sahaja. Macam biasa, tulisan aku memang selalunya nampak menarik diawal (rasanya lah) dan akan berakhir dengan kontot sekali. Kecewa juga kadang-kadang.