Sebenarnya, kalau nak diikutkan betul cerita pasal MLM ni memang dah basi, dah tak ada nak orang dengar dan baca sebab MLM ni dalam apa jenis gerak kerja sekalipun orang dah tau hasil dia-perniagaan sementara/sekerat jalan yang akhirnya akan membawa peserta program-program MLM ini kembali kepada industri makan gaji semula, ataupun berhenti dari MLM dan menceburi perniagaan baharu dan terpaksa membuat loan baru dari bank sebab duit untung masa MLM dah habis beli kereta continental terpakai secara cash dan pergi umrah setiap bulan. Tapi, bila aku perhatikan balik, banyak juga muncul trend baru dalam kalangan upliner MLM untuk rekrut budak-budak baru duduk bawah dia. Jadi, kali ini aku rasa aku nak cerita sikit pasal stereotaip MLM bagi tahun 2015 dan tahun-tahun sebelumnya (aku masukkan sekali stereotaip lapuk MLM supaya tulisan kali ini tak terlalu pendek dan bosan).
1. Kereta/motorsikal.
Kalau diperhatikan tahun-tahun sebelum ini, untuk penggunaan kereta, golongan MLM yang dikatakan sudah "berjaya" sebenarnya lebih cenderung untuk menggunakan kereta-kereta oriental yang dibeli baru/ 2nd hand dari jenama-jenama macam Honda dan Toyota dan rata-ratanya dari jenis MPV sebab kebanyakan upliner dah berusia dan beranak-pinak. Dari jenama Toyota, kenderaan paling lazim ialah model Alphard atau Vellfire recon, Estima (juga sebahagian besarnya adalah recon), dan juga jenis Ipsum (juga recon sebab Toyota Ipsum memang tak ada dalam pasaran di Malaysia). Paling mainstream untuk jenama Honda pula ialah dari model Honda Odyssey dan Stream (sebab yang sama iaitu MPV yang memudahkan mereka untuk angkut downliner mereka untuk menghadiri mesyuarat agung). Untuk kereta Continental pula, golongan upliner memang sukakan kereta-kereta dari Jerman terutama Mercedes-Benz. Dan model paling lazim ialah Mercedes Kompressor C180 dari tahun 2001 dan 2003. Tapi dibeli tahun 2005-2007 sebab harga Mercedes lambat jatuh atas permintaan dalam pasaran yang tinggi. Tapi, kalau kita tengok perkembangan MLM tahun ini dan 2-3 tahun sebelumnya, golongan MLM ni dah ambik pendekatan berbeza sikit dalam bab penggunaan kenderaan ni. Kereta-kereta oriental dengan model-model seperti di atas dah kurang digunakan untuk dibuat modal bagi mempengaruhi dan merekrut orang lain. Sebaliknya, diorang lebih cenderung untuk menggunakan kereta-kereta continental yang masih lagi buatan Jerman, dan buatan beberapa negara lain. Lagi power, beberapa syarikat MLM dah mula menggunakan supercar macam Lamborghini Gallardo dan Aventador, Ferrari yang modelnya aku tak tahu dan Nissan GTR (satu-satunya non-continental car). Tapi, dari segi penggunaan motorsikal pula, masih belum outstanding bagi aku sebab motorsikal yang sering jadi modal tak lain KTM 200, Kawasaki z800, takpun Yamaha R1. Belum lagi ada yang pakai cafe racer dari jenama Triumph atau Enfield. Dan mujur belum ada lagi orang MLM yang gunakan America Muscle sebagai modal untuk merekrut downline (Mungkin sebab cukai jalan dan penggunaan petrol yang banyak serta susah nak cari spare part menjadi masalah kepada mereka). Pheww.
![]() |
Antara kereta yang paling lazim digunakan upliner MLM. |
2. Coat/blazer/jacket/suit
Bagi aku untuk pakai apa jenis coat/blazer/jacket (baca: jaket yang aku maksudkan disini ialah dinner jacket) sebenarnya memerlukan ketelitian pengguna untuk pastikan saiz,potongan,warna, dan gaya yang sesuai. Ada yang sesuai untuk makan malam, ada yang sesuai untuk majlis cocktail, ada yang sesuai untuk parti yang santai, dan ada yang sesuai untuk majlis korporat yang formal. Tapi, kebanyakan MLM ni diorang tak peduli. Janji blazer/coat dan nampak kaya dan bergaya. Itulah dia masyarakat kita, biar papa asal bergaya. Dari segi potongan pula, macam aku cakap tadi, mereka memang tak peduli. Dan selalunya mereka akan bantai pakai kawan/pakcik/upliner punya yang lazimnya saiznya lebih besa daripada saiz yang mereka pakai. Dan kalau kamu lihat tatacara pemakaian suit yang betul, memang diorang akan galakkan untuk membeli blazer/coat/jacket yang ready made dengan satu saiz lebih kecil dari saiz kamu, supaya tak besar dan nampak macam "bozo". Katanya lah. Lagi satu jaket yang paling popular dalam kalangan ahli MLM ini ialah jaket yang aku sendiri tak tau nama sebenar dia tapi aku selalu dengar orang panggil jaket korporat yang bagi aku sememangnya tak bergaya langsung dan didatangkan dengan sulaman nama ahli dan lambang syarikat MLM yang menjadi kemegahan setiap ahli yang menyertainya.
![]() |
Ewww.... |
3. Janji manis
Banyak juga sebenarnya orang yang cuba pengaruhi mak bapak aku dulu untuk join benda alah MLM ni. Sekali dua memang mak bapak aku dulu terkena jugaklah tapi selepas kali-kali yang seterusnya, diorang dah menyesal. Kali terakhir orang tua aku terpengaruh dengan dakyah MLM ini adalah sekitar 2006-2007 dengan sebuah syarikat alat penjimat petrol kenderaan "Stromberg". Benda alah ni katanya memang mujarab, boleh save minyak up to 20%. Tapi yang tak bagusnya itulah, konsep operasinya adalah MLM. Paling menarik pasal operative system dia ialah dia gunakan slogan 4D ataupun Duduk Diam Dapat Duit. Nampak? Dari slogan sahaja kita boleh tahu macamana sesebuah organisasi perniagaan berjalan. Akhirnya, tak silap aku owner syarikat ini yang namanya cuma aku selalu orang panggil ialah Haji Jai kena tangkap, puncanya apa aku sendiri tak pasti sebab aku pun masih sekolah rendah waktu itu dan memang aku tak kisah sangat benda alah macamni. Pelabur-pelabur macam bapak aku pun tak dapatlah merasa dividen "Duduk Diam Dapat Duit" dari syarikat ni. Tapi mujur, dia pulang balik duit modal pada pelabur. Baiklah, itu baru cerita pasal "Stromberg" punya manifesto. Macamana pula dengan syarikat MLM yang lain?
Sebenarnya kalau kamu perhatikan semula janji-janji manis syarikat MLM ni, rata-ratanya hampir sama iaitu:
"Abang sekarang umur berapa? 32? sampai bila abang nak kerja makan gaji bang?
abang pikir eh, sebulan gaji abang RM 2,100. Gedebuk gedebak bil itu bil ini, pampers, susu, nafkah isteri,tuptup gaji abang dah habis. Abang taknak ke merasa financial freedom dan relaks masa abang dah tua nanti? takkan nak makan duit pencen je? EPF pon berapa lah sangat bang?"
Itu kalau sasaran mereka adalah golongan berusia lewat 20an hingga awal 40an yang bekerja makan gaji. Kalau sasaran mereka adalah pelajar universiti berusia 18 tahun hingga pertengahan 20an lain pula jadinya:
"Cuba awak fikir, awak masuk belajar pakai PTPTN. Habis belajar belum tentu dapat kerja tau. Dahtu siapa nak bayar hutang awak? Mak bapak jugak yang susah. Kalau awak join kami, masalah semua setel. Hutang PTPTN boleh bayar, habis belajar kalau taknak kerja pun takpe. Teruskan bisnes ni. InshaaAllah awak berjaya dengan usaha yang gigih. Taknak ke jadi millionaire muda-muda? Taknak ke gembirakan mak bapak kita tiap-tiap bulan boleh hantar diorang pergi umrah, tiap-tiap tahun pergi haji, tengok diorang seronok tengok adik berjaya? Taknak ke capai relationship goals denga girlfriend adik? (Ok,yang ini aku tambah sendiri.)
Perhatikan keywords yang paling utama: financial freedom, kereta besar, pencen, relaks dan hantar orang tua menunaikan umrah/haji. Dan paling penting, masa perbualan ini sedang berjalan nada suara memang tinggi dan bersemangat kalau diadakan secara beramai-ramai dan diakhiri dengan laungan kata-kata semangat yang seringkali kita dengar di kem-kem Pengakap masa sekolah dulu, kem bina semangat dan juga kem solat. Kalau secara individual pula, upliner selalunya memang akan gunakan non-verbal language seperti nada suara yang memang memukau,eye contact yang tajam dan serius serta tepukan bahu yang sangat mendorong kamu untuk turut serta perniagaan mereka.
Jadi, aku rasa mungkin sampai sini sahaja. Macam biasa, tulisan aku memang selalunya nampak menarik diawal (rasanya lah) dan akan berakhir dengan kontot sekali. Kecewa juga kadang-kadang.
No comments:
Post a Comment